Saturday, 18 May 2019

MENGURUS PEMBELAJARAN



RUMUSAN

Pengurusan didefinisikan sebagai satu proses merancang, mengelola, dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditentukan. Mengurus pula bermaksud suatu alat penting bagi mengawal tingkah laku kelakuan dan sikap pelajar. Pengurusan biasanya untuk mencapai objektif dengan cara memberikan tugasan kerja kepada orang lain supaya kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut. Mengurus pembelajaran merupakan sesuatu yang penting untuk memastikan proses pembelajaran itu sendiri berjalan dengan lancar dan berkesan.
Pembelajaran merupakan proses yang berlaku secara berterusan melalui dua cara yang berbeza iaitu pembelajaran secara formal dan pembelajaran tidak formal. Guru bertanggungjawab dalam memberi tunjuk ajar secara pembelajaran formal di mana pembelajaran tersebut hanya dapat dipelajari di sekolah sahaja. Manakala pembelajaran tidak formal pula menjadi tanggungjawab ibu bapa pelajar itu sendiri menunjukkan contoh dan amalan yang baik kepada anak-anak mereka semasa berada di rumah. Di samping itu, guru juga perlu memasukkan kedua-dua elemen tersebut semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Hal ini mampu mengubah sikap sesetengah pelajar yang degil menjadi seorang yang lebih baik kerana kebiasaannya pelajar lebih mendengar kata guru berbanding ibu bapa mereka sendiri. Oleh itu, mengurus pembelajaran penting dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar.
Selain itu, guru juga perlulah bersikap lebih kreatif dalam mencari kepelbagaian aktiviti mahupun teknik pembelajaran yang berkesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar dalam suatu topic tertentu. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang sistematik mampu membantu dalam kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, pembelajaran yang berlaku di dalam kelas perlulah dilakukan secara aktif di mana pelajar dapat menyuarakan pendapat dan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara tanpa rasa segan silu. Oleh itu, guru perlu menggunakan aktiviti pengajaran yang boleh merangsang dan mampu memberi galakan kepada mereka untuk terus belajar.
Seterusnya, teknik pembelajaran yang menggunakan teknologi seperti penggunaan ICT sememangnya sangat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran akan menjadi lebih baik dan bertambah menarik sekiranya guru menggunakan paparan pada skrin dan projector di dalam kelas kerana minda pelajar lebih mudah menyerap informasi yang mempunyai visual dan warna yang pelbagai. Kecekapan penggunaan ICT sangat penting pada masa kini dan guru-guru perlulah belajar dengan lebih mendalam berkaitan penggunaan teknologi yang semakin canggih dari semasa ke semasa. Hal ini juga dapat membuka minda pelajar bahawa penggunaan teknologi dapat membantu mereka dalam pelajaran.
Kesimpulannya, mengurus pembelajaran perlulah diberi perhatian oleh guru-guru kerana sekiranya pengurusan pembelajaran tidak dilakukan dengan baik, objektif tidak akan tercapai. Pengurusan pembelajaran juga perlulah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan guru hanyalah berperanan sebagai fasilitator atau pemerhati yang bertanggungjawab untuk menggalakkan penglibatan pelajar secara menyeluruh selari dengan Pembelajaran Abad ke-21.  




BAHAN TAMBAHAN


PUTRAJAYA 23 Jan. - Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan elemen pem­belajaran menyeronokkan bagi memastikan murid-murid gembira ke sekolah sekali gus dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Aminudin Adam berkata, kementerian percaya hasrat tersebut dapat direalisasikan menerusi ekosistem pembe­lajaran yang selamat, berhala tuju dan mendidik.
Beliau berkata, konsep pembe­lajaran yang menyeronokkan te­lah dilaksanakan di semua sekolah secara meluas dan tidak terhad kepada pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata.
Situasi tersebut sekali gus menepati enam aspirasi murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Ekosistem pembelajaran abad ke-21 perlu wujud secara menyeluruh dan bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai, komponen penting dalam mewujudkan ekosistem ini ialah budaya sekolah, prasarana; penglibatan ibu bapa dan komuniti; guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan.
“Pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya menggembleng komponen tersebut untuk menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan; memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira dan seronok untuk belajar," katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Menurut Aminudin, kementerian telah memperkenalkan Program Sekolah Penyayang pada 2012 bagi mewujudkan budaya penyayang dalam kalangan guru di sekolah, guru akan memiliki sikap kepedulian terhadap setiap perkara berkaitan murid selain menganggap murid adalah aset penting sekolah.
“Setiap guru akan membuda­yakan amalan penyayang, mereka juga akan mengamalkan sikap profesional dalam hubungan dengan murid, ibu bapa dan juga masyarakat. Hubungan baik antara guru dan murid dapat mengekang gejala ponteng sekolah, sikap melawan dan meningkatkan minat untuk ke sekolah,” katanya.

Keratan akhbar Utusan Online


RUJUKAN
Ust Saidi. (2009). Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Berkesan. Yusuf, Trans. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Zakky. (2018). Pengertian Pembelajaran Menurut Para Ahli Pendidikan, ZonaReferensi.com. Diperoleh daripada          https://www.zonareferensi.com/pengertian-pembelajaran/

Mok Soon Sang (2006). Nota Pengurusan Pengajaran-Pembelajaran. Subang Jaya:
Multimdia-ES Resources Sdn. Bhd.





No comments:

Post a Comment

INTERAKSI BILIK DARJAH

RUMUSAN Interaksi ialah proses saling bertindak balas, saling mempengaruhi antara satu sama lain. Interaksi yang berlaku antara guru d...