Saturday, 18 May 2019

INTERAKSI BILIK DARJAH


RUMUSAN

Interaksi ialah proses saling bertindak balas, saling mempengaruhi antara satu sama lain. Interaksi yang berlaku antara guru dan murid dalam bilik darjah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu percakapan guru, percakapan murid dan juga kesenyapan dalam bilik darjah. Terdapat pelbagai pola interaksi yang berlaku di dalam bilik darjah antaranya interaksi sehala, interaksi dua hala dan interaksi pelbagai hala. Oleh itu, guru berperanan penting berkaitan dengan gaya percakapan kerana ianya banyak tertumpu kepada pengaruh langsung. Maksud di sini ialah kebanyakan percakapan guru adalah berbentuk syarahan atau penerangan.
Proses interaksi adalah perkara yang tidak dapat dielakkan di dalam kehidupan seharian kerana tanpa proses tersebut, kita akan berada dalam kesunyian dan tertinggal dalam pelbagai bidang. Proses interaksi adalah hubungan antara individu dengan satu individu lain, atau sebaliknya sehingga lahir hubungan yang saling timbal balik. Sekolah merupakan tempat yang banyak berlakunya proses interaksi khususnya dalam bilik darjah iaitu semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Proses interaksi dalam bilik darjah boleh berlaku secara lisan dan bukan lisan di mana pengetahuan, sikap dan kemahiran yang disampaikan bertujuan untuk mendapatkan gerak balas yang dikehendaki. Di dalam bilik darjah terdapat 3 jenis pola interaksi iaitu interaksi sehala melibatkan interaksi sehala daripada guru kepada murid, interaksi dua hala melibatkan guru dengan murid atau murid dengan murid, dan akhir sekali interaksi pelbagai hala melibatkan guru dengan murid, murid dengan murid dan murid dengan guru.
Interaksi di dalam bilik darjah adalah penting dalam usaha mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Guru yang tiada kemahiran komunikasi dan interaksi akan mewujudkan kelas yang tidak kondusif menyebabkan murid-muridnya tidak bermotivasi. Terdapat pelbagai kepentingan dalam berkomunikasi iaitu dengan membolehkan guru memotivasi murid-muridnya supaya menimbulkan minat dan perhatian terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sebagaimana yang kita tahu, pelajar akan bosan sekiranya interaksi atau suasana pembelajaran tidak menarik, dimana kurangnya interaksi diantara guru dengan murid dan hal ini membuatkan pelajar membuat perkara lain semasa sesi pembelajaran.
Selain itu, interaksi yang positif diantara guru dan murid di dalam bilik darjah boleh merapatkan lagi hubungan yang baik sesama mereka. Dengan ini, pelajar akan berasa selesa semasa guru tersebut mengajar sekali gus menarik minat mereka untuk mendalami ilmu yang guru mereka sampaikan dan membolehkan berlakunya interaksi yang baik ketika guru bertanyakan kepada pelajarnya. Guru dapat menyampaikan pengajarannya dengan lebih berkesan dan mencapai objektif mereka. Dengan adanya interaksi yang baik di dalam bilik darjah,  guru menjadi lebih mudah untuk menyampaikan apa yang hendak disampaikan kepada anak muridnya tercapai sekali gus anak muridnya faham apa yang diajari oleh gurunya. Hal ini dapat membantu guru untuk mencapai objektif yang dikehendaki.
Kesimpulannya, proses interaksi sangat penting supaya segala pertukaran maklumat akan berlaku antara satu sama lain. Ia juga penting untuk mengetahui cara berinteraksi dengan berkesan supaya dapat mengeratkan lagi perhubungan guru dengan murid-murid dalam bilik darjah dan akhir sekali penyampaian terhadap perkara yang dibincangkan akan sampai kepada semua pelajar tanpa ada perasaan berat sebelah.



BAHAN TAMBAHAN


Nilai: Perubahan persekitaran dan kurikulum pada masa ini menjadikan profesion keguruan semakin mencabar hingga menuntut golongan pendidik perlu berusaha mencari pelbagai pendekatan baru bagi meningkatkan keberhasilan murid.
Sebelum ini, pendekatan pengajaran hanya berdasarkan kepada kapasiti serta keupayaan seseorang guru merancang, menyedia dan menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara individu selain dibantu sukatan pelajaran dan pengetahuan kendiri.
Namun, seiring dengan transformasi sistem pendidikan negara, guru perlu berkolaboratif bersama guru lain dalam komunitinya bagi menghasilkan rancangan mengajar lebih bervariasi bagi menarik minat murid belajar dengan berkesan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Pembangunan Profesionalisme Keguruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Dr Amin Senin berkata, kualiti guru menyumbang kepada prestasi pencapaian sekolah dan keberhasilan murid.
Beliau berkata, perkara ini adalah satu faktor yang sedang dipertingkatkan menerusi program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Murid tak mahu belajar adalah satu contoh masalah dalam bilik darjah kita selain masalah disiplin, interaksi dan lain-lain.
“Jelas, peranan guru hari ini bukan saja mengajar, tetapi harus mencari punca dan idea bagi menyelesaikan masalah berkenaan supaya pembelajaran berlaku secara aktif,” katanya.
Menurut Dr Amin, PLC antara kaedah sesuai yang boleh digunakan golongan pendidik untuk menyelesaikan masalah dalam bilik darjah melalui amalan perkongsian sesama mereka yang boleh mengembangkan profesionalisme dan keupayaan sebagai pendidik.
“PLC memberi autonomi kepada guru menyelesaikan masalah dalam bilik darjah dengan mengikut keupayaan dan kreativiti mereka sendiri.
“Ini bermakna seseorang guru bukan saja perlu menguasai asas pengetahuan mengajar, malah berupaya dan mempunyai daya kreativiti serta inovatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi melancarkan sesi PdP dalam bilik darjah.
“Menerusi PLC, guru boleh membuat perkongsian cara menyelesaikan sesuatu masalah dengan guru sekolah lain,” katanya.
Menurutnya, PLC adalah satu model strategi pengajaran yang diguna pakai di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
“Ia adalah amalan biasa dilakukan guru dalam bilik darjah namun ditambah baik daripada inisiatif program pembangunan berterusan (CPD) yang dilaksanakan pada 2011.
“Dalam Gelombang 1 PPPM, PLC sudah dilaksanakan di 1,178 sekolah menengah dan rendah seluruh negara dengan tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Fasa pertama menyaksikan guru-guru didedahkan dengan PLC iaitu satu kaedah perkongsian sesama guru bagi mendapatkan keberhasilan dan meningkatkan prestasi murid selaras dengan objektif PPPM,” katanya.
Keratan akhbar Harian Metro



RUJUKAN


Zalina Ina. (2012). Mewujudkan Iklim Bilik Darjah Yang Kondusif. Diperoleh                                   https://www.scribd.com/document/86625589/Mewujudkan-Iklim-Bilik-Darjah-Yang-Kondusif
Khairul Azam Bahari. (2006). Amalan Komunikasi Guru-Murid di dalam Bilik Darjah: Satu Kajian Kes. Tanjong Malim Perak: Fakulti Bahasa, UPSI.





PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN


RUMUSAN

Menurut Haji Samsuddin bin Md Noor, pengurusan didefinisikan sebagai proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Manakala, menurut Lee Shok Mee pula, alam pembelajaran memberi makna keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar kanak-kanak, sama ada di dalam bilik darjah atau persekitarannya. Persekitaran bilik darjah yang kondusif sangat penting dalam memberi keselesaan kepada pelajar untuk menjana ilmu pengetahuan dan berinteraksi sesame mereka tanpa ada sebarang gangguan.
Perancangan yang berkualiti menjamin peningkatan kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan pembelajaran dan hasilnya. Terdapat beberapa asas kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru bagi menguruskan pembelajaran di bilik darjah ialah pengetahuan guru tentang nama dan latar belakang pelajar, prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah dan perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur bilik darjah. Tambahan pula, pembelajaran Abad-21 sangat mementingkan tentang pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Susunan meja di dalam bilik darjah juga perlulah mengikut apa yang telah ditetapkan bagi mencapai objektif pendidikan di Negara ini.   
Selain itu, persediaan dari segi mental, fizikal dan bahan amat penting bagi seorang guru. Persediaan dari segi mental ialah guru perlulah mencari idea dan memikirkan cara yang kreatif untuk menarik minat pelajar dalam pembelajaran manakal dari segi fizikal pula, guru seharusnya mengambil sedikit masa yang ada untuk memastikan keadaan di dalam kelas itu teratur dan tersusun bagi menghasilkan pembelajaran yang kondusif. Seterusnya, guru haruslah menggunakan bahan atau peralatan mengajar dengan sebaik mungkin bagi menjadikan pembelajaran menjadi lebih menarik. Terdapat beberapa factor persediaan ke alam pembelajaran iaitu Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan Alat Bantu Mengajar yang dikenali sebagai (ABM).
Rancangan Pengajaran Harian (RPH) merupakan rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang perlu disediakan oleh guru sebelum masuk ke kelas. RPH mengandungi tiga peringkat berbeza iaitu peringkat perancangan sebelum pengajaran, peringkat pelaksanaan pengajaran dan peringkat penilaian. Penyediaan RPH penting dalam menentukan serta memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. Ia juga penting dalam meningkatkan keyakinan diri guru sebelum masuk kelas. Dengan adanya RPH ini, guru lebih yakin untuk memulakan sesi pengajaran dan mengelak daripada berlaku sebarang penyelewengan atau terkeluar daripada perkara yang hendak disampaikan.
Seterusnya, alat bantu mengajar (ABM) juga penting dalam membantu guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini demikian kerana, alat-alat ini merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan dan yang kemudiannya akan bertindak memperkembangkan kecerdasan dan pengalaman. Oleh itu, guru-guru disarankan supaya dapat menyusun dan merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan baik, terutamanya dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan bantu mengajar kerana inilah merupakan aspek yang memberi kesan terhadap prestasi para pelajar.
Kesimpulannya, seseorang guru perlulah menitikberatkan pengurusan alam pembelajaran dalam menarik minat pelajar terhadap pelajaran yang diajar di sekolah. Guru juga perlulah mahir dan kreatif dalam membentuk suasana pembelajaran yang kondusif bagi keselesaan murid dalam menjana ilmu pengetahuan. Perancangan yang berkualiti menjamin proses perkembangan pembelajaran serta hasilnya kepada pelajar.


BAHAN TAMBAHAN


GOMBAK: Guru perlu sentiasa kreatif dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah termasuk menjadikan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) terutama menggunakan konsep Akhbar Dalam Darjah (ADD) yang diperkenalkan oleh BH.
Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Sajoli Masdor, berkata konsep pembelajaran ADD sudah lama dipratikkan guru kreatif yang tidak menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan semata-mata sebaliknya menggunakan akhbar dalam pembelajaran mengikut situasi atau kontektual.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi lebih kreatif dan tepat untuk digunakan dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PA21) bagi meningkatkan pengetahuan murid seterusnya melahirkan generasi cemerlang.
"Sehubungan itu, bagi melahirkan generasi holistik, guru perlu sentiasa mengambil insiatif berbeza dan kreatif dalam aspek PdP di dalam bilik darjah," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) BH 2017 peringkat daerah Gombak di sini, hari ini.
Keratan akhbar Berita Harian

RUJUKAN

Husin, K. H. (2011). Pedagogi bahasa amalan bilik darjah. Tanjong malim: Emeritus
Publications
Faiez Roslan .(2018). Definisi Pengurusan Alam Pembelajaran. Diperolehi daripada
http://faiezimtiaz.blogspot.com/2018/12/tajuk-14-pengurusan-alam-pembelajaran.html 









MENGURUS PEMBELAJARAN



RUMUSAN

Pengurusan didefinisikan sebagai satu proses merancang, mengelola, dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditentukan. Mengurus pula bermaksud suatu alat penting bagi mengawal tingkah laku kelakuan dan sikap pelajar. Pengurusan biasanya untuk mencapai objektif dengan cara memberikan tugasan kerja kepada orang lain supaya kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut. Mengurus pembelajaran merupakan sesuatu yang penting untuk memastikan proses pembelajaran itu sendiri berjalan dengan lancar dan berkesan.
Pembelajaran merupakan proses yang berlaku secara berterusan melalui dua cara yang berbeza iaitu pembelajaran secara formal dan pembelajaran tidak formal. Guru bertanggungjawab dalam memberi tunjuk ajar secara pembelajaran formal di mana pembelajaran tersebut hanya dapat dipelajari di sekolah sahaja. Manakala pembelajaran tidak formal pula menjadi tanggungjawab ibu bapa pelajar itu sendiri menunjukkan contoh dan amalan yang baik kepada anak-anak mereka semasa berada di rumah. Di samping itu, guru juga perlu memasukkan kedua-dua elemen tersebut semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Hal ini mampu mengubah sikap sesetengah pelajar yang degil menjadi seorang yang lebih baik kerana kebiasaannya pelajar lebih mendengar kata guru berbanding ibu bapa mereka sendiri. Oleh itu, mengurus pembelajaran penting dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar.
Selain itu, guru juga perlulah bersikap lebih kreatif dalam mencari kepelbagaian aktiviti mahupun teknik pembelajaran yang berkesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar dalam suatu topic tertentu. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang sistematik mampu membantu dalam kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, pembelajaran yang berlaku di dalam kelas perlulah dilakukan secara aktif di mana pelajar dapat menyuarakan pendapat dan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara tanpa rasa segan silu. Oleh itu, guru perlu menggunakan aktiviti pengajaran yang boleh merangsang dan mampu memberi galakan kepada mereka untuk terus belajar.
Seterusnya, teknik pembelajaran yang menggunakan teknologi seperti penggunaan ICT sememangnya sangat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran akan menjadi lebih baik dan bertambah menarik sekiranya guru menggunakan paparan pada skrin dan projector di dalam kelas kerana minda pelajar lebih mudah menyerap informasi yang mempunyai visual dan warna yang pelbagai. Kecekapan penggunaan ICT sangat penting pada masa kini dan guru-guru perlulah belajar dengan lebih mendalam berkaitan penggunaan teknologi yang semakin canggih dari semasa ke semasa. Hal ini juga dapat membuka minda pelajar bahawa penggunaan teknologi dapat membantu mereka dalam pelajaran.
Kesimpulannya, mengurus pembelajaran perlulah diberi perhatian oleh guru-guru kerana sekiranya pengurusan pembelajaran tidak dilakukan dengan baik, objektif tidak akan tercapai. Pengurusan pembelajaran juga perlulah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan guru hanyalah berperanan sebagai fasilitator atau pemerhati yang bertanggungjawab untuk menggalakkan penglibatan pelajar secara menyeluruh selari dengan Pembelajaran Abad ke-21.  




BAHAN TAMBAHAN


PUTRAJAYA 23 Jan. - Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan elemen pem­belajaran menyeronokkan bagi memastikan murid-murid gembira ke sekolah sekali gus dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Aminudin Adam berkata, kementerian percaya hasrat tersebut dapat direalisasikan menerusi ekosistem pembe­lajaran yang selamat, berhala tuju dan mendidik.
Beliau berkata, konsep pembe­lajaran yang menyeronokkan te­lah dilaksanakan di semua sekolah secara meluas dan tidak terhad kepada pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata.
Situasi tersebut sekali gus menepati enam aspirasi murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Ekosistem pembelajaran abad ke-21 perlu wujud secara menyeluruh dan bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai, komponen penting dalam mewujudkan ekosistem ini ialah budaya sekolah, prasarana; penglibatan ibu bapa dan komuniti; guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan.
“Pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya menggembleng komponen tersebut untuk menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan; memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira dan seronok untuk belajar," katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Menurut Aminudin, kementerian telah memperkenalkan Program Sekolah Penyayang pada 2012 bagi mewujudkan budaya penyayang dalam kalangan guru di sekolah, guru akan memiliki sikap kepedulian terhadap setiap perkara berkaitan murid selain menganggap murid adalah aset penting sekolah.
“Setiap guru akan membuda­yakan amalan penyayang, mereka juga akan mengamalkan sikap profesional dalam hubungan dengan murid, ibu bapa dan juga masyarakat. Hubungan baik antara guru dan murid dapat mengekang gejala ponteng sekolah, sikap melawan dan meningkatkan minat untuk ke sekolah,” katanya.

Keratan akhbar Utusan Online


RUJUKAN
Ust Saidi. (2009). Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Berkesan. Yusuf, Trans. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Zakky. (2018). Pengertian Pembelajaran Menurut Para Ahli Pendidikan, ZonaReferensi.com. Diperoleh daripada          https://www.zonareferensi.com/pengertian-pembelajaran/

Mok Soon Sang (2006). Nota Pengurusan Pengajaran-Pembelajaran. Subang Jaya:
Multimdia-ES Resources Sdn. Bhd.





INTERAKSI BILIK DARJAH

RUMUSAN Interaksi ialah proses saling bertindak balas, saling mempengaruhi antara satu sama lain. Interaksi yang berlaku antara guru d...